Lagenda Gua Gomantong, Sabah
HUJAN yang turun sejak beberapa hari lalu setelah kemarau lebih tiga purnama menumbuhkan pucuk muda kegemaran rusa dan binatang liar lain yang menghuni rimba raya. Raja Tua Batulong yang tinggal di Kampung Kuala Kuamut, Ulu Sungai Kinabatangan merasakan masa untuk berburu telah tiba, apatah lagi tuaian padi musim ini amat berhasil.
Maka bertolaklah Raja Tua Batulong ke dalam hutan rimba yang tebal bersama anjing kesayangan dan sebilah lembing yang tajam. Oleh kerana terlalu asyik melihat tapak kaki rusa dan tembadau, Raja Tua Batulong tersesat jauh ke dalam hutan dan tidak tahu di mana berada.
Pada hematnya mungkin roh jahat, Anturut, telah meresap ke tubuhnya dan kini di bawah kendalian roh tersebut. Anjingnya tidak kelihatan lagi walaupun berkali-kali dipanggilnya.
Namun Raja Tua Batulong menguatkan semangat dan mene-ruskan perjalanan. Apabila lapar, dia mengambil pucuk, umbut kayu dan buah-buahan hutan untuk mengisi perutnya yang berkeroncong.
Selama seminggu lebih Raja Tua Batulong melangkah di dalam hutan tebal, tidur di atas pokok kayu dengan mengikat dirinya pada dahan kayu di waktu malam dan meneruskan perjalanan ketika masih kabus.
Tiba-tiba kelihatan sebuah gua besar di sebuah bukit batu kapur yang tinggi di hadapannya. Raja Tua Batulong melemparkan beberapa ketul batu ke dalam gua berkenaan sehingga kelawar dan burung layang-layang bercempera terkejut dengan bunyi yang dihasilkan dari lantunan batu yang dilemparkan ke dalam gua berkenaan.
Raja Tua Batulong memasuki gua dan mendapati banyak sarang burung di dalam gua berkenaan lalu menanda dan menamakan gua tersebut sebagai Agup Tagarang.
Ketika sedang melepaskan lelah selepas dua hari perjalanan meninggalkan Agup Tagarang, dia terdengar sayup-sayup suara anjingnya tidak jauh di hadapan lalu terbetik kegembiraan yang amat sangat, apatah lagi anjingnya sedang mengejar binatang hutan, mungkin rusa, tembadau atau babi.
Tanpa melengahkan masa Raja Tua Batulong melompat ke hadapan bersama lembing mengejar binatang buruan untuk mengisi perutnya yang selama lebih seminggu hanya disumbat daun kayu dan buah-buahan hutan kerana tidak menemui sebarang binatang selain burung layang-layang dan kelawar yang sukar ditangkap.
Setelah mengejar kesegenap arah, akhirnya Raja Tua Batulong dapat membunuh babi yang dikejar anjingnya hampir separuh daripada hari tersebut dengan lembing tajam yang menembusi jantung babi berkenaan.
Ketika sedang membersihkan babi tersebut Raja Tua Batulong kehairanan kerana mendapati banyak sarang burung di dalam perut babi berkenaan. Babi tersebut dipanggang dan dihabiskan oleh Raja Tua Batulong dan anjingnya.
Akibat keletihan dan kekenyangan, Raja Tua Batulong tertidur agak awal pada malam itu di sebuah gua batu bersama anjingnya. Suasana di hutan itu semakin sunyi dan hanya sekali sekala bunyi cangkerik dan bunyi dengkuran Raja Tua Batulong yang diselang seli dengan bunyi dengusan nafas anjingnya.
Tiba-tiba asap berkepul-kepul di hadapannya. Angin sejuk mengelus lembut. Muncul tujuh orang puteri jelita berpakaian serba biru yang bercahaya bagai bidadari dari syurga. Raja Tua Batulong terkejut bimbang kalau-kalau ketujuh puteri jelita itu hanya roh jahat yang cuba menggodanya, namun menguatkan semangatnya kerana kaki ketujuh puteri tersebut memijak lantai gua.
Kata orang tua-tua, kalau puteri jelita hanya berdiri di atas angin dan tidak menjejak lantai atau tanah, maka perlu dihindari bagi mengelak timbul masalah yang tidak diingini.
"Kenapa saudara berada di sini?" tanya puteri yang berselendang biru laut dengan senyuman dan suara merdu yang boleh meruntuhkan kejantanan Raja Tua Batulong.
"Saya sesat. Saya tidak dapat cari jalan pulang," kata Raja Tua Batulong dengan nada tersekat-sekat namun bersungguh-sungguh memohon ihsan ketujuh puteri menunjukkan jalan pulang.
"Saudara jangan bimbang. Saudara teruskan perjalanan ke arah kanan, kemudian saudara akan jumpa sebuah gua yang banyak sarang burung, lebih besar dari gua yang saudara jumpa di Kuamut, nama gua itu Gomantong. Saudara gantung baju saudara di sana sebagai tanda supaya saudara boleh datang lagi. Lepas itu teruskan perjalanan ikut rasa hati saudara," kata puteri berselendang biru sementara yang lainnya melambai-lambaikan tangan kemudian kesemua mereka hilang secara tiba-tiba di celah kepulan asap dan angin yang berhelus lembut.
Raja Tua Batulong terkejut lalu terjaga dari tidur ketika hari hampir pagi. Dia tidak melihat sesiapa di sisinya selain anjingnya yang menggeliat seketika. Raja Tua Batulong mentakwilkan mimpinya dan yakin ketujuh puteri dalam mimpinya berkata benar. Dia mengalas perutnya dengan baki daging babi yang diperolehi kelmarin lalu meneruskan perjalanan sebagaimana panduan yang diberikan oleh puteri jelita berselendang biru laut melalui mimpinya.
Tidak lama kemudian tersergam di hadapannya sebuah bukit batu kapur yang agak tinggi dan bergua besar. Raja Tua Batu-long memasuki gua berkenaan untuk memastikan itulah gua yang dimaskudkan oleh puteri berselendang biru laut. Terdapat banyak sarang burung, hitam dan putih dalam gua berkenaan, lalu Raja Tua Batulong memetik beberapa sarang burung berkenaan untuk di bawa balik kerana memikirkan sedangkan babi memakan sarang, apatah lagi manusia. Sudah pasti sarang tersebut amat bernilai, bisik hati kecilnya.
Selepas menggantungkan baju yang dipakainya di mulut gua sebagaimana yang diarahkan oleh puteri berselendang biru laut, Raja Tua Batulong meneruskan perjalanan mengikut rasa hatinya dengan diekori oleh anjingnya.
Tidak lama kemudian dia menemui sebatang sungai lalu menghilir sungai tersebut sehingga pada petang itu dia terlihat dua orang lelaki sedang mendayung sampan memudeki sungai. Hatinya terbetik kegembiraan.
"Hai kawan, saya sesat, boleh saya tumpang," pinta Raja Tua Batulong kepada dua orang lelaki tersebut yang tidak keberatan menumpangkannya.
" Saudara dari mana?" tanya seorang lelaki yang berkumis tebal yang mendayung di belakang.
"Saya dari Kuamut," balas Raja Tua Batulong yang menceritakan serba sedikit bagaimana dia boleh berada di tebing sungai ketika kedua lelaki berkenaan mendayung sampan.
Walaupun pergerakan sampan tersebut terlalu perlahan, namun Raja Tua Batulong gembira kerana dapat keluar dari hutan tebal berkenaan. Hampir tengah malam barulah mereka tiba di kampung dua orang lelaki tersebut, Kampung Melapi berdekatan dengan Kuala Menungal. Mereka bermalam di rumah kedua lelaki tersebut.
Keesokan paginya kedua lelaki tersebut membawa Raja Tua Batulong berjumpa dengan ketua kampung mereka, Pangeran Digadong Sama lalu menceritakan serba sedikit bagaimana mereka berjumpa dengan Raja Tua Batulong.
Pangeran hanya tersenyum mendengar penjelasan anak buahnya kerana beliau ada mendengar kisah seorang lelaki dari Kuamut hilang di dalam hutan tanpa jejak ketika berburu. Pangeran mengalu-alukan kedatangan Raja Tua Batulong dan melayannya dengan baik sebagai tetamu kehormat ke kampungnya.
"Saudara tinggallah di sini barang sehari dua untuk melepaskan lelah," ujar Pangeran sambil menyerahkan persalinan dan mengarahkan keluarganya menyediakan makanan yang enak-enak untuk Raja Tua Batulong.
"Terima kasih," jawab Raja Tua Batulong yang merasakan terhutang budi kepada kedua lelaki yang menumpangkannya dan Pangeran yang memberikan layanan yang begitu istimewa sekali.
Setelah kesihatan Raja Tua Batulong pulih seperti sediakala kerana diberi makanan yang berzat, maka dia menceritakan kisah sebenar bagaimana boleh sesat sehinggalah tiba di kampung tersebut kepada Pangeran.
"Inilah sarang burung itu," kata Raja Tua Batulong seraya mengunjukkan beberapa sarang burung yang sempat dipetiknya dari Gua Gomantong yang dijumpai dengan bantuan puteri berselendang biru laut yang mendatangi mimpinya.
"Saudara boleh ingatkah jalan ke sana?" tanya Pangeran yang begitu gembira kerana sering dikunjungi pedagang China dan Suluk yang ingin membeli sarang burung, namun Pangeran tidak mengetahui bagaimana mahu mendapatkan sarang berkenaan.
"Rasa-rasa saya boleh ingat, saya ada kasi tinggal baju saya di sana sebagai tanda," balas Raja Tua Batulong berterus terang.
Pangeran mengarahkan beberapa orang pemuda kepercayaannya menemani Raja Tua Batulong kembali ke Gua Gomantong menghilir sungai dan mengikut jalan yang dilalui oleh Raja Tua Batulong sehingga menemui gua tersebut.
Mereka sampai ke Gua Simud Hitam yang diserahkan kepada Raja Tua Batulong kerana bajunya tertanda di pintu gua berkenaan.
Manakala gua-gua lain telah menjadi hak milik Pangeran Digadong Sama yang mengarahkan pengikutnya mendirikan beberapa pondok di pintu gua berkenaan sementara dua orang pemuda pulang memberitahu ketua mereka tugas mereka telah selesai.
Raja Tua Batulong tidak lagi kembali ke Kuamut, sebaliknya menetap di Gua Gomantong menjaga sarang burungnya ber-sama-sama para pengikut Pangeran Digadong Sama kerana sarang burung mendapat permintaan yang tinggi daripada pedagang luar yang berurus niaga dengan mereka di Melapi.
Gua Gomantong menjadi warisan turun temurun Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama sehinggalah kedatangan British ke Sabah yang meletakkan Gua Gomantong milik kerajaan, namun masih membenarkan keturunan Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama memungut sarang dengan membayar cukai sepuluh peratus sehinggalah hak pemungutan sarang terlepas daripada keturunan mereka pada tahun 1994 apabila Kerajaan Barisan Nasional memerintah Sabah.